Ulasan Perlawanan 18 November 2011 (Jumaat)
Saya kembali melaporkan kepada anda dari
meja sukan mengenai dunia sukan Mansoura setelah hampir 11 bulan berehat
gara-gara gelombang ‘tsunami politik’ yang melanda Mesir. Reformasi dan ketidakstabilan politik yang
melanda Mesir sedikit sebanyak mengganggu perjalanan Mansoura Premier League
(MPL) yang sepatutnya berakhir pada Mac/April 2011. MPL terpaksa
ditangguhkan dan diheret ke suatu masa sehingga keadaan kembali normal. Namun,
semua itu bukanlah alasan yang mengundang mehnah dan tribulasi kepada barisan
pemain dan exco MPL, mereka kelihatan begitu bersemangat dan menunjukkan
komitmen yang cemerlang ketika di atas padang. Kini, perlawanan Mansoura
Premier League (MPL) 2010/2011 diteruskan dengan lima lagi perlawanan pada hari
Jumaat 18 Novermber 2011 sekitar pukul 6 petang di padang belakang Istad
Gamaa’. Cuaca yang dingin tidak merencatkan perjalanan perlawanan dengan
kehadiran penonton yang bersorak riang memecah kedinginan malam yang bersuhu
sekitar 15’ Celcius.
Pada malam
ini,penonton disajikan dengan aksi ganas, ‘drama’ air mata dan riak kekecewaan
bercampur baur menghiasi pentas MPL 2010/2011. Perlawanan pembukaan antara
pasukan Rigli Koroub menentang pasukan sensasi berstatus ‘bintang’ Super Senior
yang diadili oleh Saudara Ahmad Sofiyuddin memanaskan lagi pentas MPL pada
malam itu. Pada awal babak pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan,
namun tiada gol yang berjaya dihasilkan. Pada separuh masa kedua, penyerang
sensasi Rigli Koroub, Saudara Syamil kerap kali menyerang kubu Super Senior
dengan tendangan tepat ke gawang, namun dek kerana kekebalan benteng lawan,
mereka berjaya menidakkan setiap asakan.
Jika dilihat dari segi saiz tubuh, saya seakan tidak percaya dengan kemampuan
pemain cilik ini. Namun, beliau berjaya mengubah perspektif songsang yang
berlegar di minda pengkritik-pengkritik sukan dengan membuktikan kehandalannya.
Benar apa yang dikata, “Kecil-kecil cili padi“. Di barisan Super Senior, dapat
dilihat ketumpulan jentera serangan akibat ketiadaan ‘bintang-bintang’ yang
terpaksa direhatkan berikutan terikat dengan peperiksaan akhir semester. Banyak
peluang yang gagal dimanfaatkan oleh Super Senior, namun sehingga ke wisel
penamat, kedua-dua pasukan terikat 0-0 tanpa sebarang jaringan. Saya cuba
mendapatkan ulasan pengurus pasukan Super Senior mengenai prestasi mereka pada malam
ini, namun saya sedikit hampa kerana pengurus pasukan Super Senior tidak hadir
pada malam itu.
Perlawanan
diteruskan dengan menemukan pasukan 2 Kupang Lima Det menentang pasukan yang
acapkali mengungguli carta MPL 2010/2011 iaitu pasukan Belasahan. Pasukan
Belasahan turun ke padang dengan jersi baru berwarna hijau mengambil semangat
rona-rona alam dengan impian untuk menang dan terus mengungguli carta MPL.
Pasukan Belasahan tampil dengan aksinya yang tersendiri. Mereka kerap mengasak
kubu pasukan 2 Kupang 5 Det, namun semua percubaan berjaya ditepis oleh penjaga
gol pasukan 2 Kupang 5 Det. Saudara Iqbal memecah kekebalan benteng lawan
dengan menghasilkan gol dari jarak jauh untuk memastikan pasukan Belasahan
mendahuli 1-0 di babak pertama. Kegembiraan pasukan Belasahan tidak bertahan
lama. Teraju utama Belasahan, Saudara Irfan mengalami kecederaan akibat
pertembungan dengan pemain 2 Kupang 5 Det sehingga terpaksa dipapah keluar
padang. Hal ini memberi tekanan kepada pasukan Belasahan kerana mereka terpaksa
mengatur strategi baru untuk terus mendahului permainan. Pada separuh masa
kedua, pasukan Belasahan berjaya mendapatkan banyak peluang untuk menjaringkan
gol, tetapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya kerana tunjang utama pasukan mereka
tercedera. Pasukan 2 Kupang 5 Det tidak pernah kenal erti kalah, di lewat babak
kedua ini, mereka seringkali mengasak kubu lawan dengan serangan tepat ke
gawang gol, akan tetapi semuanya berjaya dinafikan oleh pasukan Belasahan. Di
akhir babak kedua sebelum wisel penamat dibunyikan, kelekaan pemain pasukan 2
Kupang 5 Det dihukum oleh Saudara Razak dengan satu lagi jaringan untuk
kemenangan selesa 2-0.
Pasukan
Logam FC pula turun menentang pasukan Kemah Kemin. Di awal babak pertama,
permainan seimbang antara kedua-dua pasukan dapat dilihat. Beberapa percubaaan berbahaya
oleh pasukan Kemah Kemin berjaya ditepis oleh penjaga gol pasukan Logam FC
Saudara Amir Ridzuan. Dengan ketajaman jentera serangan pasukan Kemah Kemin,
pasukan Logam FC dilihat agak goyah di awal permainan. Pasukan Logam FC tidak
hanya bertahan, mereka juga saling menyerang. Peluang terbaik pasukan Logam FC
hadir pada minit-minit akhir permainan, namun penyudah yang kurang berkesan
oleh Saudara Rizatulfaiz menyebabkan pasukan Logam FC hampa. Namun, Saudara
Rizatulfaiz berjanji untuk memperbaiki mutu permainan apabila menentang pasukan
Belasahan selepas ini. Kesudahannya, Logam FC ‘0’ dan Kemah Kemin ‘0’.
Pasukan 2 Kupang 5 Det sekali lagi
turun ke padang,tetapi kali ini menentang pasukan Super Senior. Mereka
dilihat lebih berkeyakinan dan menunjukkan aksi yang lebih mantap. Beberapa
percubaan tepat ke gawang gol berjaya ditepis oleh penjaga gol pasukan Super Senior.
Sementara itu, pasukan Super Senior kerapkali terlepas beberapa peluang
keemasan untuk menjaringkan gol. Saudara Aiman dan Saudara Faisal Arif yang
menjadi tunjang kepada pasukan Super Senior sering melepaskan peluang yang
tersedia di depan mata sekaligus menghampakan penonton yang datang untuk
menyokong pasukan Super Senior. Ketiadaan pemain pasukan Super Senior yang bertaraf ‘bintang’
sedikit sebanyak menjejaskan mutu permainan pasukan tersebut. Di akhir masa,
kedua-dua pasukan seri 0-0.
Pasukan Belasahan
turun sekali lagi, kali ini menentang pasukan Logam FC. Belasahan turun dengan tujuan untuk
‘membelasah’ pasukan Logam FC. Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya.
Maruah pasukan Belasahan sedikit terobek apabila ‘dibelasah’ oleh pasukan Logam
FC. Saudara Rizatulfaiz kali ini membuktikan kejaguhannya apabila menyumbat gol
pertama pasukan Logam FC. Selang 1 minit selepas itu,akibat kelekaan pertahanan
pasukan Belasahan, Saudara Rizatulfaiz sekali lagi menjaringkan gol kedua untuk
pasukan Logam FC. Hal ini memberi
tekanan kepada pasukan Belasahan. Mereka kerap kali mengasak ke kubu
Logam FC, namun dek kerana penyudah yang kurang berkesan, akhirnya mereka
hampa. Di akhir-akhir permainan, Saudara Muhaimin berjaya juga membolosi gawang
gol pasukan Logam FC sekaligus satu gol saguhati untuk pasukan Belasahan. Wisel
penamat dibunyikan, keputusan Logam FC ‘2’ dan Belasahan ‘1’.
Semua
perlawanan tamat pada pukul 8.45 malam dengan secara keseluruhannya semua
penonton berpuashati dengan permainan yang ditunjukkan oleh setiap pasukan.
Mansoura Premier League 2010/2011 hanya berbaki seminggu sahaja lagi sebelum
juara MPL ditabalkan. Pasukan manakah yang akan membawa pulang trofi kejuaraan?
Maruah pasukan manakah pula yang akan tergadai? Sama-sama kita nantikan.
Teruskan kesetiaan anda bersama saya untuk ulasan Mansoura Premier League
2010/2011.
Oleh,
ZiZaN
Penganalisis
& Wartawan Rasmi MPL 2010/2011
No comments:
Post a Comment