Saturday 3 December 2011

Ulasan Keseluruhan Mansoura Premier League 2010/2011

Alhamdulillah. Akhirnya Mansoura Premier League 2010/2011 telah berjaya ditamatkan dengan suka duka pahit manis ditempuh bersama sepanjang 11 bulan MPL 2010/2011 berlangsung. Sekalung tahniah diucapkan kepada pasukan Belasahan kerana berjaya menjadi ‘Raja Bola’ bagi musim ini. Tidak dilupakan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua pasukan yang bertanding serta penonton yang tidak pernah lupa untuk terus menyokong MPL 2010/2011. 

Jika kita menelusuri jejak MPL 2010/2011, MPL 2010/2011 bermula dengan cukup bergaya sekali. Sambutan yang tidak putus-putus diterima oleh peminat mahupun pengkritik sukan tanah air. Namun siapalah kita untuk memastikan MPL 2010/2011 terus berjalan tanpa masalah. Lewat Januari 2011, Mesir digegarkan dengan gelombang ‘tsunami politik’ yang menyebabkan MPL ditangguhkan sehingga ke suatu tarikh yang sesuai memandangkan keadaan politik Mesir ketika itu yang tidak stabil. Kini realitinya, MPL 2010/2011 telah pun sampai ke garis penamatnya. 

Kami selaku pihak yang bertanggungjawab menguruskan MPL 2010/2011 memohon maaf diatas apa jua kesalahan dan kekurangan sepanjang musim MPL ini berlangsung. Pihak kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pasukan yang bertanding, AJK yang terlibat serta penonton-penonton yang sudi hadir untuk memeriahkan MPL edisi 2010/2011 ini. Mungkinkah MPL ini akan disambung pada musim 2012? Sama-sama kita tunggu.

Oleh,
Pihak Pengurusan MPL 2010/2011

Tuesday 29 November 2011

KEPUTUSAN PERLAWANAN DAN CARTA KESELURUHAN

29 November 2011 - Mansoura Premier League (MPL) 2010/2011 kini telah sampai ke kemuncaknya. Suka duka, gelak tawa serta deraian air mata menemani kami sepanjang musim MPL 2010/2011 ini. Perlawanan pada malam ini diteruskan dengan aksi dari enam pasukan lagi bagi merebut piala yang menjadi kebanggaan warga Mansoura. Perlawanan bermula sekitar jam 6 petang bertempat di padang belakang Istad Gamaa’. Berikut merupakan keputusan penuh perlawanan pada malam tadi: 


Dan berikut pula merupakan kedudukan carta terkini setelah tamatnya musim MPL 2010/2011:

Setelah dihitung, dicongak dan dikira, maka dengan ini pasukan Belasahan berjaya mengungguli carta MPL 2010/2011 sekaligus berjaya menggondol piala MPL 2010/2011. Tempat kedua pula telah disandang oleh pasukan Rigli Koroub. 

 JUARA
KUMPULAN BELASAHAN

TEMPAT KEDUA
RIGLI KOROUB

Berikut diumumkan penjaring terbanyak dan pemain terbaik sepanjang musim MPL 2010/2011 

 
Pemain terbaik
Ahmad Nabal bin Zahidi


        Penjaring terbanyak
Muhamad Johari (Siti Sifir) - 8 Gol
Majlis penutup pada malam itu diserikan dengan kehadiran Saudara Mohammad Rafiq selaku wakil rasmi Pengerusi Cawangan Mansoura (PCM). Dalam ucapan penutupnya, beliau berharap agar Mansoura Premier League (MPL) ini dapat diteruskan untuk musim-musim yang akan datang bagi merapatkan ukhwah sesama warga Mansoura serta MPL ini merupakan wahana atau platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat terpendam warga Mansoura dalam arena sukan terutamanya bola sepak. Majlis tamat sekitar jam 8 malam setelah semua pasukan bergambar bagi mengabadikan memori indah sepanjang musim MPL 2010/2011.

Zizan,

Penganalisis & Wartawan Rasmi MPL 2010/2011





PERLAWANAN MALAM INI




TEMPAT: PADANG BELAKANG
WAKTU: 6.00 PM - 8.00 PM


*PERHATIAN:

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH AKAN DIADAKAN PADA 29 NOVEMBER 2011 BERTEMPAT DI PADANG BELAKANG SELEPAS PERLAWANAN TERAKHIR. 

PARA PESERTA DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI KE MAJLIS TERSEBUT
 


Thursday 24 November 2011

Wednesday 23 November 2011

VIDEO 23 NOVEMBER 2011

PENGUMUMAN PENTING


Setiap perlawanan berbaki yg melibatkan pasukan Inspira diberikan kemenangan 3-0 secara automatik mengikut peraturan MPL 10/11.

Keputusan adalah seperti berikut:


CARTA TERKINI (23 NOVEMBER 2011)


KEPUTUSAN PERLAWANAN (23 NOVEMBER 2011)


VIDEO 21 NOVEMBER 2011

PERLAWANAN HARI INI (23 NOVEMBER 2011)


Ulasan Perlawanan 23 November 2011 (Rabu)

Kini saya kembali untuk membiarkan jari-jemari saya menari di atas papan kekunci ini untuk terus membawakan kepada anda ulasan Mansoura Premier League 2010/2011.  Pada hari Rabu 23 November 2011 bertempat di Padang Belakang Istad Gamaa’, tiga perlawanan membabitkan 5 pasukan telah berlangsung sekitar jam 6.15 petang. 

Perlawanan pembukaan antara pasukan 2 Kupang 5 Det menentang pasukan Seeker mencuri tumpuan penonton yang hadir. Pada awal babak pertama,permainan kedua-dua pasukan dilihat seimbang. Peluang untuk menjaringkan gol untuk pasukan Seeker hadir pada minit ke-9 namun peluang ini gagal dimanfaatkan oleh Saudara Sahli. Pada separuh masa kedua, pasukan 2 Kupang 5 Det dilihat banyak mengasak kubu lawan, namun setiap percubaan berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol pasukan Seeker. Di akhir masa, kedua-dua pasukan seri 0-0 tanpa sebarang jaringan.  

Perlawanan antara pasukan One Piece FC menetang Super Senior mencuri perhatian pengkritik-pengkritik sukan tanah air. Jika sebelum ini pasukan Super Senior begitu ‘rakus’ sekali dengan ‘membaham’ pasukan Kemah Kemin 5 gol berbalas 0 serta menjinakkan pasukan versatile Medclick, akan tetapi kali ini lain pula halnya. Apa yang tidak kena agaknya, semua percubaan oleh pasukan Super Senior serba tidak menjadi. Dua kali peluang untuk menjaringkan gol gagal dimanfaatkan oleh Saudara Abdullah Tahir, namun sebaliknya Saudara Alifitri dari pasukan OnePiece berjaya menanduk masuk hasil umpanan Saudara Hatimi untuk pasukan One Piece mendahului 1-0 di babak pertama. Di separuh masa kedua, pasukan Super Senior menggandakan asakan ke kubu One Piece. Peluang terbaik Super Senior untuk menjaringkan gol hadir pada minit ke 15, namun gagal disudahkan oleh Saudara Akhi. Di akhir masa, pasukan One Piece berjaya mengalahkan Super Senior dengan 1-0. 
Pasukan Seeker sekali lagi turun ke padang, kali ini menentang pasukan Medclick. Di awal babak, Saudara Shahir menjaringkan 1 gol untuk pasukan Medclick. Selang beberapa minit selepas itu, akibat kelekaan benteng pasukan Seeker, Saudara Badrul berjaya meloloskan diri dari benteng Seeker untuk menjaringkan satu lagi gol untuk pasukan Medclick. Di babak kedua, pasukan Medclick banyak melakukan percubaan tepat ke gawang gol,namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol pasukan Seeker. Sebelum wisel penamat dibunyikan, Saudara Alfian dari pasukan Seeker berjaya juga menjaringkan 1 gol saguhati untuk Seeker. Keputusan penuh Medclick ‘2’ Seeker ‘1’.

Perlawanan tamat sekitar jam 8 malam dengan rata2 penonton berpuas hati dengan mutu permainan setiap pasukan. Cuma adakalanya mutu pengadilan turut dipersoalkan oleh pemain. Pihak penganjur berjanji untuk memperbaiki kelemahan yang sudah dikenalpasti itu. Mansoura Premier League 2010/2011 hampir sampai ke kemuncaknya. Ingin tahu pasukan mana yang menjadi ‘Raja Bola’ di Mansoura ? Teruskan kesetiaan anda bersama saya.

Zizan,
Penganalisis & Wartawan Rasmi MPL 2010/2011

Tuesday 22 November 2011

Laporan 21 November 2011

21 November 2011
Perlawanan pembukaan diantara kumpulan Belasahan dan Siti Sifir menyaksikan tempo permainan yang pantas. Hantaran bola oleh saudara Syafiq daripada kumpulan Belasahan disambut baik oleh saudara Muhaimin yang kemudiannya membuat serangan jarak jauh tepat menuju gol Siti Sifir. Terkejut dan tidak menyangka serangan yang sebegitu rupa, penjaga gawang Siti Sifir hanya mampu pasrah apabila kumpulan Belasahan berjaya mendapat satu jaringan pada minit ke 5 separuh masa pertama. 

Walupun begitu, kumpulan Siti Sifir tidak putus harapan, apabila mereka mengatur semula strategi perlawanan daripada posisi bertahan kepada posisi menyerang. Separuh masa kedua diantara Siti Sifir dan Belasahan menyaksikan serangan bertubi-tubi oleh kumpulan Siti Sifir, menyebabkan kumpulan Belasahan terpaksa bertukar kepada posisi bertahan. Apakan daya, tiada satu serangan pun yang berjaya membolosi gol Belasahan, menjadikan markah keseluruhan, Belasahan (1-0) Siti Sifir

Perlawanan kedua pula menyaksikan perlawan diantara kumpulan Siti Sfir menentang kumpulan Seeker. Berbanding perlawanan sebelum ini, Siti Sifir telah melakukan serangan seawal perlawanan lagi. Gol pertama Siti Sifir dijaringkan oleh Joe, apabila beliau berjaya mengelecek secara solo melepasi pertahanan kumpulan Seeker dan akhirnya satu rembatan padu dihadapan gol Seeker  yang memberikan satu mata kepada kumpulan Siti Sifir. Siti Sifir tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menjaringkan sebutir lagi gol apabila bola yang dihantar oleh saudara Piqal, disambut baik oleh Joe menyaksikan sekali lagi kegagalan Seeker untuk bertahan memberikan kedudukan selesa  kepada kumpulan Siti Sifir untuk membawa pulang 3 mata penuh.

Separuh masa pertama perlawanan diantara kumpulan belasahan dan Macha Broterhood menyaksisakan ketandusan gol daripada kedua-dua belah pihak. Akan tetapi, keadaan itu berubah sama sekali apabila Pengurus Pasukan Belasahan membuat keputusan untuk melepaskan ayam tambatan mereka, saudara Muhaimin ke padang. Ternyata keputusan bijak itu membuahkan hasil apabila tidak sampai seminit pun saudara Muhaimin di padang, beliau telah menyambut hantaran saudara Imran dan dengan begitu mudah menyumbat gol tunggal di dalam perlawanan diantara Belasahan dan Macha Brotherhood pada malam ini. Kemenangan tipis ke atas pasukan Macha Brotherhood memberikan Belasahan 3 mata dan melonjakkan mereka ke tangga kedua liga.

Mala mini juga menyaksikan 3 orang daripada peserta telah mengalami kecederaan dan sehingga memaksa mereka keluar daripada kawasan permainan untuk berehat. Keadaan ini mungkin berpunca daripada keadaan padang yang agak licin dan cuaca yang agak sejuk yang memudahkan kecederaan untuk berlaku. 

Oleh:
Wartawan MPL 2010/2011

Saturday 19 November 2011

KEPUTUSAN PERLAWANAN 19 NOVEMBER 2011


PERHATIAN. WAKTU PERLAWANAN HARI INI


WAKTU = 5.30PM-9.00PM
TEMPAT = PADANG BELAKANG

VIDEO DAN ULASAN PERLAWANAN18 SEPTEMBER


Ulasan Perlawanan 18 November 2011 (Jumaat)

Saya kembali melaporkan kepada anda dari meja sukan mengenai dunia sukan Mansoura setelah hampir 11 bulan berehat gara-gara gelombang ‘tsunami politik’ yang melanda Mesir.  Reformasi dan ketidakstabilan politik yang melanda Mesir sedikit sebanyak mengganggu perjalanan Mansoura Premier League (MPL) yang sepatutnya berakhir pada Mac/April 2011. MPL terpaksa ditangguhkan dan diheret ke suatu masa sehingga keadaan kembali normal. Namun, semua itu bukanlah alasan yang mengundang mehnah dan tribulasi kepada barisan pemain dan exco MPL, mereka kelihatan begitu bersemangat dan menunjukkan komitmen yang cemerlang ketika di atas padang. Kini, perlawanan Mansoura Premier League (MPL) 2010/2011 diteruskan dengan lima lagi perlawanan pada hari Jumaat 18 Novermber 2011 sekitar pukul 6 petang di padang belakang Istad Gamaa’. Cuaca yang dingin tidak merencatkan perjalanan perlawanan dengan kehadiran penonton yang bersorak riang memecah kedinginan malam yang bersuhu sekitar 15’ Celcius.  

Pada malam ini,penonton disajikan dengan aksi ganas, ‘drama’ air mata dan riak kekecewaan bercampur baur menghiasi pentas MPL 2010/2011. Perlawanan pembukaan antara pasukan Rigli Koroub menentang pasukan sensasi berstatus ‘bintang’ Super Senior yang diadili oleh Saudara Ahmad Sofiyuddin memanaskan lagi pentas MPL pada malam itu. Pada awal babak pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun tiada gol yang berjaya dihasilkan. Pada separuh masa kedua, penyerang sensasi Rigli Koroub, Saudara Syamil kerap kali menyerang kubu Super Senior dengan tendangan tepat ke gawang, namun dek kerana kekebalan benteng lawan, mereka  berjaya menidakkan setiap asakan. Jika dilihat dari segi saiz tubuh, saya seakan tidak percaya dengan kemampuan pemain cilik ini. Namun, beliau berjaya mengubah perspektif songsang yang berlegar di minda pengkritik-pengkritik sukan dengan membuktikan kehandalannya. Benar apa yang dikata, “Kecil-kecil cili padi“. Di barisan Super Senior, dapat dilihat ketumpulan jentera serangan akibat ketiadaan ‘bintang-bintang’ yang terpaksa direhatkan berikutan terikat dengan peperiksaan akhir semester. Banyak peluang yang gagal dimanfaatkan oleh Super Senior, namun sehingga ke wisel penamat, kedua-dua pasukan terikat 0-0 tanpa sebarang jaringan. Saya cuba mendapatkan ulasan pengurus pasukan Super Senior mengenai prestasi mereka pada malam ini, namun saya sedikit hampa kerana pengurus pasukan Super Senior tidak hadir pada malam itu. 

Perlawanan diteruskan dengan menemukan pasukan 2 Kupang Lima Det menentang pasukan yang acapkali mengungguli carta MPL 2010/2011 iaitu pasukan Belasahan. Pasukan Belasahan turun ke padang dengan jersi baru berwarna hijau mengambil semangat rona-rona alam dengan impian untuk menang dan terus mengungguli carta MPL. Pasukan Belasahan tampil dengan aksinya yang tersendiri. Mereka kerap mengasak kubu pasukan 2 Kupang 5 Det, namun semua percubaan berjaya ditepis oleh penjaga gol pasukan 2 Kupang 5 Det. Saudara Iqbal memecah kekebalan benteng lawan dengan menghasilkan gol dari jarak jauh untuk memastikan pasukan Belasahan mendahuli 1-0 di babak pertama. Kegembiraan pasukan Belasahan tidak bertahan lama. Teraju utama Belasahan, Saudara Irfan mengalami kecederaan akibat pertembungan dengan pemain 2 Kupang 5 Det sehingga terpaksa dipapah keluar padang. Hal ini memberi tekanan kepada pasukan Belasahan kerana mereka terpaksa mengatur strategi baru untuk terus mendahului permainan. Pada separuh masa kedua, pasukan Belasahan berjaya mendapatkan banyak peluang untuk menjaringkan gol, tetapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya kerana tunjang utama pasukan mereka tercedera. Pasukan 2 Kupang 5 Det tidak pernah kenal erti kalah, di lewat babak kedua ini, mereka seringkali mengasak kubu lawan dengan serangan tepat ke gawang gol, akan tetapi semuanya berjaya dinafikan oleh pasukan Belasahan. Di akhir babak kedua sebelum wisel penamat dibunyikan, kelekaan pemain pasukan 2 Kupang 5 Det dihukum oleh Saudara Razak dengan satu lagi jaringan untuk kemenangan selesa 2-0. 

Pasukan Logam FC pula turun menentang pasukan Kemah Kemin. Di awal babak pertama, permainan seimbang antara kedua-dua pasukan dapat dilihat. Beberapa percubaaan berbahaya oleh pasukan Kemah Kemin berjaya ditepis oleh penjaga gol pasukan Logam FC Saudara Amir Ridzuan. Dengan ketajaman jentera serangan pasukan Kemah Kemin, pasukan Logam FC dilihat agak goyah di awal permainan. Pasukan Logam FC tidak hanya bertahan, mereka juga saling menyerang. Peluang terbaik pasukan Logam FC hadir pada minit-minit akhir permainan, namun penyudah yang kurang berkesan oleh Saudara Rizatulfaiz menyebabkan pasukan Logam FC hampa. Namun, Saudara Rizatulfaiz berjanji untuk memperbaiki mutu permainan apabila menentang pasukan Belasahan selepas ini. Kesudahannya, Logam FC ‘0’ dan Kemah Kemin ‘0’. 

Pasukan 2 Kupang 5 Det sekali lagi turun ke padang,tetapi kali ini menentang pasukan Super Senior. Mereka dilihat lebih berkeyakinan dan menunjukkan aksi yang lebih mantap. Beberapa percubaan tepat ke gawang gol berjaya ditepis oleh penjaga gol pasukan Super Senior. Sementara itu, pasukan Super Senior kerapkali terlepas beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol. Saudara Aiman dan Saudara Faisal Arif yang menjadi tunjang kepada pasukan Super Senior sering melepaskan peluang yang tersedia di depan mata sekaligus menghampakan penonton yang datang untuk menyokong pasukan Super Senior. Ketiadaan pemain pasukan Super Senior yang bertaraf ‘bintang’ sedikit sebanyak menjejaskan mutu permainan pasukan tersebut. Di akhir masa, kedua-dua pasukan seri 0-0. 

Pasukan Belasahan turun sekali lagi, kali ini menentang pasukan Logam FC. Belasahan turun dengan tujuan untuk ‘membelasah’ pasukan Logam FC. Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Maruah pasukan Belasahan sedikit terobek apabila ‘dibelasah’ oleh pasukan Logam FC. Saudara Rizatulfaiz kali ini membuktikan kejaguhannya apabila menyumbat gol pertama pasukan Logam FC. Selang 1 minit selepas itu,akibat kelekaan pertahanan pasukan Belasahan, Saudara Rizatulfaiz sekali lagi menjaringkan gol kedua untuk pasukan Logam FC. Hal ini memberi  tekanan kepada pasukan Belasahan. Mereka kerap kali mengasak ke kubu Logam FC, namun dek kerana penyudah yang kurang berkesan, akhirnya mereka hampa. Di akhir-akhir permainan, Saudara Muhaimin berjaya juga membolosi gawang gol pasukan Logam FC sekaligus satu gol saguhati untuk pasukan Belasahan. Wisel penamat dibunyikan, keputusan Logam FC ‘2’ dan Belasahan ‘1’. 

Semua perlawanan tamat pada pukul 8.45 malam dengan secara keseluruhannya semua penonton berpuashati dengan permainan yang ditunjukkan oleh setiap pasukan. Mansoura Premier League 2010/2011 hanya berbaki seminggu sahaja lagi sebelum juara MPL ditabalkan. Pasukan manakah yang akan membawa pulang trofi kejuaraan? Maruah pasukan manakah pula yang akan tergadai? Sama-sama kita nantikan. Teruskan kesetiaan anda bersama saya untuk ulasan Mansoura Premier League 2010/2011.

Oleh,
ZiZaN
Penganalisis & Wartawan Rasmi MPL 2010/2011