Sunday 2 January 2011

Laporan Perlawanan (1 Januari 2011)

Perlawanan pada hari ke-2 dalam minggu ke-2 telah melabuhkan tirainya dengan gelak tawa, air mata dan kekecewaan bercampur baur menghiasi pentas Mansoura Premier League edisi 2010/2011. Seperti minggu-minggu sebelumnya, perlawanan pada hari ini dimulakan pada pukul 5.45 petang di padang belakang, Istad Gamaa’.

Pada malam ini, penonton disajikan dengan perlawanan pembukaan antara pasukan Medclick menentang pasukan One Piece. Perlawanan yg diadili oleh saudara Ahmad Sofiyuddin Bin Sha’ari ini memperlihatkan aksi kedua-dua pasukan cuba mengintai peluang bagi menjaringkan gol untuk  pasukan masing-masing. Pada awal masa, pasukan Medclick dilihat menguasai permainan namun  dek kerana penyudah yang kurang berkesan menyebabkan pasukan itu kempunan untuk menjaringkan gol. Pasukan One Piece pula yang diterajui oleh saudara Abdul Malik bin Abdul Halim dilihat kerap mengasak kubu lawan, namun kekebalan benteng pasukan Medclick berjaya menidakkan serangan-serangan berbahaya oleh pasukan One Piece. Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan namun tiada gol yang berjaya dihasilkan  sehingga masa penamat. Menurut pengurus pasukan Medclick iaitu saudara Qayrul Rafiuddin bin Rahim yang ditemubual sejurus selepas perlawanan berkata, pemainnya dilihat agak kurang berstamina dan beliau berjanji akan memperbaiki mutu permainan serta formasi yang lebih efektif  akan digunakan.



Pasukan Belasahan menunjukkan aksi yang lebih mantap dan bertenaga serta  mereka dilihat mampu untuk ‘membelasah’ pasukan-pasukan lain yang beraksi dalam liga MPL ini. Jika pada minggu-minggu sebelumnya, pasukan ini telah berjaya mencalarkan reputasi pasukan ‘veteran’ Mansoura iaitu Super Senior dengan seri 1-1, dan minggu ini  mereka turun menentang pasukan Inspira yang dibarisi oleh muka-muka lama dan ‘otai’ Mansoura. Perlawanan pada awalnya begitu sengit dengan pasukan Belasahan sering menerjah kubu lawan namun semua itu berjaya ditentang oleh pasukan Inspira. Tetapi di lewat masa, akibat kelekaan benteng pertahanan Inspira, pasukan Belasahan berjaya juga membolosi gawang gol sebelum wisel penamat dibunyikan. Menurut pasukan Inspira, cuaca sejuk turut mempengaruhi stamina serta corak permainan mereka. Namun hal ini tidak menjadi penghalang untuk mereka terus berjuang merebut gelaran paling berprestij ini.



Perlawanan diteruskan dengan pasukan Seekers bertemu pasukan yang digeruni di Mansoura iaitu pasukan Super Senior. Bermain sebagai ‘under-dog’, pada awalnya pasukan ini dilihat akan menjadi ‘lauk’ dan pesta gol bagi pasukan Super Senior. Namun semua itu berjaya dinafikan oleh pasukan Seekers dengan mempamerkan aksi dalam kelasnya yang tersendiri. Kubu pasukan Seekers acapkali diuji dengan serangan tepat ke gawang gol, namun penjaga gol pasukan Seekers berjaya untuk menepis semua serangan itu. Pasukan Super Senior tidak pernah kenal putus asa, berbekalkan pengalaman dan kehebatan mereka beraksi dalam liga-liga di luar Mansoura serta hampir semua pemain mereka yang bertaraf 5 bintang, mereka mencari peluang untuk membolosi gawang pasukan Seekers. Namun sehingga ke wisel penamat,kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.



Perlawanan antara pasukan Medclick menentang Belasahan merupakan antara perlawanan yang dinanti-nantikan oleh penonton serta pengkritik sukan. Reputasi pasukan Medclick yang tidak pernah bolos sepanjang musim ini tercalar akibat kalah 0-1 kepada pasukan belasahan. Aksi-aksi keras serta ganas dapat dilihat memandangkan kedua-dua pasukan inginkan kemenangan sebelum berehat panjang selepas ini dan beraksi semula pada bukan februari nanti. Saudara Mohammad Baihaqi bin Ramli dan saudara Iqbal Hakim dilihat merupakan tunjang dan penggempur terbaik pasukan Belasahan untuk merobek benteng pasukan lawan. Namun semuanya belum berakhir buat pasukan Medclick kerana mereka kini giat merancang strategi untuk mengembalikan maruah mereka yang tercalar.



Pasukan One Piece turun sekali lagi menentang pasukan Seekers. Kali ini, mereka dilihat lebih berkeyakinan dan menunjukkan aksi yang lebih mantap. Di awal babak pertama, kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan, namun aksi kasar pemain telah menyebabkan salah seorang tunjang pasukan Seekers cedera sehingga terpaksa dipapah keluar. Ketiadaan ‘hero’ Seekers dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan One Piece. Kolaborasi antara  saudara Mohd Alifitri Alias dan saudara Ahmad Amiuddin berjaya mengucar- kacirkan  benteng pasukan Seekers yang akhirnya keputusan 2-0 berpihak kepada One Piece.

Perlawanan penutup antara pasukan Super Senior menentang pasukan Inspira begitu hangat walaupun cuaca sejuk bersuhu antara 11 hingga 15 ‘C. Saudara Mohammad Arifudin bin Pi Remli sekali lagi menunjukkan belangnya  dan menjadi ‘hero Malaya’ apabila berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan dan berjaya menghampakan harapan pemain Inspira untuk sekurang-kurangnya seri dalam perlawanan ini.  Perlawanan tamat sekitar 8.30 malam dengan hampir semua penonton berpuas hati dengan aksi pemain pasukan yang mereka minati walaupun ada beberapa perkara berbangkit yang akan diperbaiki oleh pihak penganjur . Perlawanan akan berhenti seketika untuk memberi laluan kepada peperiksaan akhir semester dan akan kembali pada awal februari nanti. Siapa yang akan menjadi juara? Maruah pasukan manakah yang akan tergadai? Sama-sama kita tunggu.



Disediakan Oleh,
Zizan
Penganalisis & Wartawan Rasmi MPL

VIDEO MINGGU INI



25 DISEMBER 2010


1 JANUARI 2011


Saturday 1 January 2011

CARTA LIGA TERKINI

KEPUTUSAN PERLAWANAN HARI INI (1 JANUARI 2011)

PERUBAHAN WAKTU PERLAWANAN

KEPADA SEMUA KUMPULAN YANG AKAN BERMAIN PADA PETANG INI (1 JANUARI 2011), 

WAKTU PERMAINAN TELAH DITETAPKAN PADA PUKUL 5.45 PETANG DI PADANG BELAKANG.

HARAP MAKLUM

* PEMAIN YANG BARU HENDAK DIDAFTARKAN TIDAK DIBENARKAN BERMAIN MALAM INI