Wednesday 23 November 2011

Ulasan Perlawanan 23 November 2011 (Rabu)

Kini saya kembali untuk membiarkan jari-jemari saya menari di atas papan kekunci ini untuk terus membawakan kepada anda ulasan Mansoura Premier League 2010/2011.  Pada hari Rabu 23 November 2011 bertempat di Padang Belakang Istad Gamaa’, tiga perlawanan membabitkan 5 pasukan telah berlangsung sekitar jam 6.15 petang. 

Perlawanan pembukaan antara pasukan 2 Kupang 5 Det menentang pasukan Seeker mencuri tumpuan penonton yang hadir. Pada awal babak pertama,permainan kedua-dua pasukan dilihat seimbang. Peluang untuk menjaringkan gol untuk pasukan Seeker hadir pada minit ke-9 namun peluang ini gagal dimanfaatkan oleh Saudara Sahli. Pada separuh masa kedua, pasukan 2 Kupang 5 Det dilihat banyak mengasak kubu lawan, namun setiap percubaan berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol pasukan Seeker. Di akhir masa, kedua-dua pasukan seri 0-0 tanpa sebarang jaringan.  

Perlawanan antara pasukan One Piece FC menetang Super Senior mencuri perhatian pengkritik-pengkritik sukan tanah air. Jika sebelum ini pasukan Super Senior begitu ‘rakus’ sekali dengan ‘membaham’ pasukan Kemah Kemin 5 gol berbalas 0 serta menjinakkan pasukan versatile Medclick, akan tetapi kali ini lain pula halnya. Apa yang tidak kena agaknya, semua percubaan oleh pasukan Super Senior serba tidak menjadi. Dua kali peluang untuk menjaringkan gol gagal dimanfaatkan oleh Saudara Abdullah Tahir, namun sebaliknya Saudara Alifitri dari pasukan OnePiece berjaya menanduk masuk hasil umpanan Saudara Hatimi untuk pasukan One Piece mendahului 1-0 di babak pertama. Di separuh masa kedua, pasukan Super Senior menggandakan asakan ke kubu One Piece. Peluang terbaik Super Senior untuk menjaringkan gol hadir pada minit ke 15, namun gagal disudahkan oleh Saudara Akhi. Di akhir masa, pasukan One Piece berjaya mengalahkan Super Senior dengan 1-0. 
Pasukan Seeker sekali lagi turun ke padang, kali ini menentang pasukan Medclick. Di awal babak, Saudara Shahir menjaringkan 1 gol untuk pasukan Medclick. Selang beberapa minit selepas itu, akibat kelekaan benteng pasukan Seeker, Saudara Badrul berjaya meloloskan diri dari benteng Seeker untuk menjaringkan satu lagi gol untuk pasukan Medclick. Di babak kedua, pasukan Medclick banyak melakukan percubaan tepat ke gawang gol,namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol pasukan Seeker. Sebelum wisel penamat dibunyikan, Saudara Alfian dari pasukan Seeker berjaya juga menjaringkan 1 gol saguhati untuk Seeker. Keputusan penuh Medclick ‘2’ Seeker ‘1’.

Perlawanan tamat sekitar jam 8 malam dengan rata2 penonton berpuas hati dengan mutu permainan setiap pasukan. Cuma adakalanya mutu pengadilan turut dipersoalkan oleh pemain. Pihak penganjur berjanji untuk memperbaiki kelemahan yang sudah dikenalpasti itu. Mansoura Premier League 2010/2011 hampir sampai ke kemuncaknya. Ingin tahu pasukan mana yang menjadi ‘Raja Bola’ di Mansoura ? Teruskan kesetiaan anda bersama saya.

Zizan,
Penganalisis & Wartawan Rasmi MPL 2010/2011

No comments:

Post a Comment