29 November 2011 - Mansoura Premier
League (MPL) 2010/2011 kini telah sampai ke kemuncaknya. Suka duka, gelak tawa
serta deraian air mata menemani kami sepanjang musim MPL 2010/2011 ini. Perlawanan
pada malam ini diteruskan dengan aksi dari enam pasukan lagi bagi merebut piala
yang menjadi kebanggaan warga Mansoura. Perlawanan bermula sekitar jam 6 petang
bertempat di padang belakang Istad Gamaa’. Berikut merupakan keputusan penuh
perlawanan pada malam tadi:
Dan berikut pula
merupakan kedudukan carta terkini setelah tamatnya musim MPL 2010/2011:
Setelah
dihitung, dicongak dan dikira, maka dengan ini pasukan Belasahan berjaya
mengungguli carta MPL 2010/2011 sekaligus berjaya menggondol piala MPL
2010/2011. Tempat kedua pula telah disandang oleh pasukan Rigli Koroub.
JUARA
KUMPULAN BELASAHAN
TEMPAT KEDUA
RIGLI KOROUB
Berikut
diumumkan penjaring terbanyak dan pemain terbaik sepanjang musim MPL 2010/2011
Pemain terbaik
Ahmad Nabal bin Zahidi
Penjaring terbanyak Muhamad Johari (Siti Sifir) - 8 Gol
Majlis penutup
pada malam itu diserikan dengan kehadiran Saudara Mohammad Rafiq selaku wakil
rasmi Pengerusi Cawangan Mansoura (PCM). Dalam ucapan penutupnya, beliau
berharap agar Mansoura Premier League (MPL) ini dapat diteruskan untuk
musim-musim yang akan datang bagi merapatkan ukhwah sesama warga Mansoura serta
MPL ini merupakan wahana atau platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat
terpendam warga Mansoura dalam arena sukan terutamanya bola sepak. Majlis tamat
sekitar jam 8 malam setelah semua pasukan bergambar bagi mengabadikan memori
indah sepanjang musim MPL 2010/2011.
Kini saya kembali untuk
membiarkan jari-jemari saya menari di atas papan kekunci ini untuk terus
membawakan kepada anda ulasan Mansoura Premier League 2010/2011. Pada hari Rabu 23 November 2011 bertempat di
Padang Belakang Istad Gamaa’, tiga perlawanan membabitkan 5 pasukan telah
berlangsung sekitar jam 6.15 petang.
Perlawanan pembukaan antara
pasukan 2 Kupang 5 Det menentang pasukan Seeker mencuri tumpuan penonton yang
hadir. Pada awal babak pertama,permainan kedua-dua pasukan dilihat seimbang.
Peluang untuk menjaringkan gol untuk pasukan Seeker hadir pada minit ke-9 namun
peluang ini gagal dimanfaatkan oleh Saudara Sahli. Pada separuh masa kedua,
pasukan 2 Kupang 5 Det dilihat banyak mengasak kubu lawan, namun setiap
percubaan berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol pasukan Seeker. Di
akhir masa, kedua-dua pasukan seri 0-0 tanpa sebarang jaringan.
Perlawanan
antara pasukan One Piece FC menetang Super Senior mencuri perhatian
pengkritik-pengkritik sukan tanah air. Jika sebelum ini pasukan Super Senior
begitu ‘rakus’ sekali dengan ‘membaham’ pasukan Kemah Kemin 5 gol berbalas 0
serta menjinakkan pasukan versatile Medclick, akan tetapi kali ini lain pula
halnya. Apa yang tidak kena agaknya, semua percubaan oleh pasukan Super Senior
serba tidak menjadi. Dua kali peluang untuk menjaringkan gol gagal dimanfaatkan
oleh Saudara Abdullah Tahir, namun sebaliknya Saudara Alifitri dari pasukan
OnePiece berjaya menanduk masuk hasil umpanan Saudara Hatimi untuk pasukan One
Piece mendahului 1-0 di babak pertama. Di
separuh masa kedua, pasukan Super Senior menggandakan asakan ke kubu One Piece.
Peluang terbaik Super Senior untuk menjaringkan gol hadir pada minit ke 15,
namun gagal disudahkan oleh Saudara Akhi. Di akhir masa, pasukan One Piece
berjaya mengalahkan Super Senior dengan 1-0.
Pasukan Seeker sekali lagi turun
ke padang, kali ini menentang pasukan Medclick. Di awal babak, Saudara Shahir
menjaringkan 1 gol untuk pasukan Medclick. Selang beberapa minit selepas itu, akibat
kelekaan benteng pasukan Seeker, Saudara Badrul berjaya meloloskan diri dari
benteng Seeker untuk menjaringkan satu lagi gol untuk pasukan Medclick. Di
babak kedua, pasukan Medclick banyak melakukan percubaan tepat ke gawang
gol,namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol pasukan Seeker. Sebelum wisel
penamat dibunyikan, Saudara Alfian dari pasukan Seeker berjaya juga menjaringkan
1 gol saguhati untuk Seeker. Keputusan penuh Medclick ‘2’ Seeker ‘1’.
Perlawanan tamat sekitar jam 8
malam dengan rata2 penonton berpuas hati dengan mutu permainan setiap pasukan.
Cuma adakalanya mutu pengadilan turut dipersoalkan oleh pemain. Pihak penganjur
berjanji untuk memperbaiki kelemahan yang sudah dikenalpasti itu. Mansoura
Premier League 2010/2011 hampir sampai ke kemuncaknya. Ingin tahu pasukan mana
yang menjadi ‘Raja Bola’ di Mansoura ? Teruskan kesetiaan anda bersama saya.
Perlawanan pembukaan diantara kumpulan Belasahan
dan Siti Sifir menyaksikan tempo permainan yang pantas. Hantaran bola oleh
saudara Syafiq daripada kumpulan Belasahan disambut baik oleh saudara Muhaimin
yang kemudiannya membuat serangan jarak jauh tepat menuju gol Siti Sifir.
Terkejut dan tidak menyangka serangan yang sebegitu rupa, penjaga gawang Siti
Sifir hanya mampu pasrah apabila kumpulan Belasahan berjaya mendapat satu jaringan
pada minit ke 5 separuh masa pertama.
Walupun begitu, kumpulan Siti Sifir tidak putus
harapan, apabila mereka mengatur semula strategi perlawanan daripada posisi
bertahan kepada posisi menyerang. Separuh masa kedua diantara Siti Sifir dan
Belasahan menyaksikan serangan bertubi-tubi oleh kumpulan Siti Sifir, menyebabkan
kumpulan Belasahan terpaksa bertukar kepada posisi bertahan. Apakan daya, tiada
satu serangan pun yang berjaya membolosi gol Belasahan, menjadikan markah
keseluruhan, Belasahan (1-0) Siti Sifir
Perlawanan kedua pula menyaksikan perlawan
diantara kumpulan Siti Sfir menentang kumpulan Seeker. Berbanding perlawanan
sebelum ini, Siti Sifir telah melakukan serangan seawal perlawanan lagi. Gol
pertama Siti Sifir dijaringkan oleh Joe, apabila beliau berjaya mengelecek
secara solo melepasi pertahanan kumpulan Seeker dan akhirnya satu rembatan padu
dihadapan gol Seeker yang memberikan
satu mata kepada kumpulan Siti Sifir. Siti Sifir tidak perlu mengambil masa
yang lama untuk menjaringkan sebutir lagi gol apabila bola yang dihantar oleh
saudara Piqal, disambut baik oleh Joe menyaksikan sekali lagi kegagalan Seeker
untuk bertahan memberikan kedudukan selesa kepada kumpulan Siti Sifir untuk membawa
pulang 3 mata penuh.
Separuh masa pertama perlawanan diantara kumpulan
belasahan dan Macha Broterhood menyaksisakan ketandusan gol daripada kedua-dua
belah pihak. Akan tetapi, keadaan itu berubah sama sekali apabila Pengurus
Pasukan Belasahan membuat keputusan untuk melepaskan ayam tambatan mereka,
saudara Muhaimin ke padang. Ternyata keputusan bijak itu membuahkan hasil
apabila tidak sampai seminit pun saudara Muhaimin di padang, beliau telah
menyambut hantaran saudara Imran dan dengan begitu mudah menyumbat gol tunggal
di dalam perlawanan diantara Belasahan dan Macha Brotherhood pada malam ini. Kemenangan
tipis ke atas pasukan Macha Brotherhood memberikan Belasahan 3 mata dan
melonjakkan mereka ke tangga kedua liga.
Mala mini juga menyaksikan 3 orang daripada
peserta telah mengalami kecederaan dan sehingga memaksa mereka keluar daripada
kawasan permainan untuk berehat. Keadaan ini mungkin berpunca daripada keadaan
padang yang agak licin dan cuaca yang agak sejuk yang memudahkan kecederaan
untuk berlaku.
Saya kembali melaporkan kepada anda dari
meja sukan mengenai dunia sukan Mansoura setelah hampir 11 bulan berehat
gara-gara gelombang ‘tsunami politik’ yang melanda Mesir.Reformasi dan ketidakstabilan politik yang
melanda Mesir sedikit sebanyak mengganggu perjalanan Mansoura Premier League
(MPL) yang sepatutnya berakhir pada Mac/April 2011. MPL terpaksa
ditangguhkan dan diheret ke suatu masa sehingga keadaan kembali normal. Namun,
semua itu bukanlah alasan yang mengundang mehnah dan tribulasi kepada barisan
pemain dan exco MPL, mereka kelihatan begitu bersemangat dan menunjukkan
komitmen yang cemerlang ketika di atas padang. Kini, perlawanan Mansoura
Premier League (MPL) 2010/2011 diteruskan dengan lima lagi perlawanan pada hari
Jumaat 18 Novermber 2011 sekitar pukul 6 petang di padang belakang Istad
Gamaa’. Cuaca yang dingin tidak merencatkan perjalanan perlawanan dengan
kehadiran penonton yang bersorak riang memecah kedinginan malam yang bersuhu
sekitar 15’ Celcius.
Pada malam
ini,penonton disajikan dengan aksi ganas, ‘drama’ air mata dan riak kekecewaan
bercampur baur menghiasi pentas MPL 2010/2011. Perlawanan pembukaan antara
pasukan Rigli Koroub menentang pasukan sensasi berstatus ‘bintang’ Super Senior
yang diadili oleh Saudara Ahmad Sofiyuddin memanaskan lagi pentas MPL pada
malam itu. Pada awal babak pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan,
namun tiada gol yang berjaya dihasilkan. Pada separuh masa kedua, penyerang
sensasi Rigli Koroub, Saudara Syamil kerap kali menyerang kubu Super Senior
dengan tendangan tepat ke gawang, namun dek kerana kekebalan benteng lawan,
merekaberjaya menidakkan setiap asakan.
Jika dilihat dari segi saiz tubuh, saya seakan tidak percaya dengan kemampuan
pemain cilik ini. Namun, beliau berjaya mengubah perspektif songsang yang
berlegar di minda pengkritik-pengkritik sukan dengan membuktikan kehandalannya.
Benar apa yang dikata, “Kecil-kecil cili padi“. Di barisan Super Senior, dapat
dilihat ketumpulan jentera serangan akibat ketiadaan ‘bintang-bintang’ yang
terpaksa direhatkan berikutan terikat dengan peperiksaan akhir semester. Banyak
peluang yang gagal dimanfaatkan oleh Super Senior, namun sehingga ke wisel
penamat, kedua-dua pasukan terikat 0-0 tanpa sebarang jaringan. Saya cuba
mendapatkan ulasan pengurus pasukan Super Senior mengenai prestasi mereka pada malam
ini, namun saya sedikit hampa kerana pengurus pasukan Super Senior tidak hadir
pada malam itu.
Perlawanan
diteruskan dengan menemukan pasukan 2 Kupang Lima Det menentang pasukan yang
acapkali mengungguli carta MPL 2010/2011 iaitu pasukan Belasahan. Pasukan
Belasahan turun ke padang dengan jersi baru berwarna hijau mengambil semangat
rona-rona alam dengan impian untuk menang dan terus mengungguli carta MPL.
Pasukan Belasahan tampil dengan aksinya yang tersendiri. Mereka kerap mengasak
kubu pasukan 2 Kupang 5 Det, namun semua percubaan berjaya ditepis oleh penjaga
gol pasukan 2 Kupang 5 Det. Saudara Iqbal memecah kekebalan benteng lawan
dengan menghasilkan gol dari jarak jauh untuk memastikan pasukan Belasahan
mendahuli 1-0 di babak pertama. Kegembiraan pasukan Belasahan tidak bertahan
lama. Teraju utama Belasahan, Saudara Irfan mengalami kecederaan akibat
pertembungan dengan pemain 2 Kupang 5 Det sehingga terpaksa dipapah keluar
padang. Hal ini memberi tekanan kepada pasukan Belasahan kerana mereka terpaksa
mengatur strategi baru untuk terus mendahului permainan. Pada separuh masa
kedua, pasukan Belasahan berjaya mendapatkan banyak peluang untuk menjaringkan
gol, tetapi gagal dimanfaatkan sepenuhnya kerana tunjang utama pasukan mereka
tercedera. Pasukan 2 Kupang 5 Det tidak pernah kenal erti kalah, di lewat babak
kedua ini, mereka seringkali mengasak kubu lawan dengan serangan tepat ke
gawang gol, akan tetapi semuanya berjaya dinafikan oleh pasukan Belasahan. Di
akhir babak kedua sebelum wisel penamat dibunyikan, kelekaan pemain pasukan 2
Kupang 5 Det dihukum oleh Saudara Razak dengan satu lagi jaringan untuk
kemenangan selesa 2-0.
Pasukan
Logam FC pula turun menentang pasukan Kemah Kemin. Di awal babak pertama,
permainan seimbang antara kedua-dua pasukan dapat dilihat. Beberapa percubaaan berbahaya
oleh pasukan Kemah Kemin berjaya ditepis oleh penjaga gol pasukan Logam FC
Saudara Amir Ridzuan. Dengan ketajaman jentera serangan pasukan Kemah Kemin,
pasukan Logam FC dilihat agak goyah di awal permainan. Pasukan Logam FC tidak
hanya bertahan, mereka juga saling menyerang. Peluang terbaik pasukan Logam FC
hadir pada minit-minit akhir permainan, namun penyudah yang kurang berkesan
oleh Saudara Rizatulfaiz menyebabkan pasukan Logam FC hampa. Namun, Saudara
Rizatulfaiz berjanji untuk memperbaiki mutu permainan apabila menentang pasukan
Belasahan selepas ini. Kesudahannya, Logam FC ‘0’ dan Kemah Kemin ‘0’.
Pasukan 2 Kupang 5 Det sekali lagi
turun ke padang,tetapi kali ini menentang pasukan Super Senior. Mereka
dilihat lebih berkeyakinan dan menunjukkan aksi yang lebih mantap. Beberapa
percubaan tepat ke gawang gol berjaya ditepis oleh penjaga gol pasukan Super Senior.
Sementara itu, pasukan Super Senior kerapkali terlepas beberapa peluang
keemasan untuk menjaringkan gol. Saudara Aiman dan Saudara Faisal Arif yang
menjadi tunjang kepada pasukan Super Senior sering melepaskan peluang yang
tersedia di depan mata sekaligus menghampakan penonton yang datang untuk
menyokong pasukan Super Senior. Ketiadaan pemain pasukan Super Senior yang bertaraf ‘bintang’
sedikit sebanyak menjejaskan mutu permainan pasukan tersebut. Di akhir masa,
kedua-dua pasukan seri 0-0.
Pasukan Belasahan
turun sekali lagi, kali ini menentang pasukan Logam FC. Belasahan turun dengan tujuan untuk
‘membelasah’ pasukan Logam FC. Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya.
Maruah pasukan Belasahan sedikit terobek apabila ‘dibelasah’ oleh pasukan Logam
FC. Saudara Rizatulfaiz kali ini membuktikan kejaguhannya apabila menyumbat gol
pertama pasukan Logam FC. Selang 1 minit selepas itu,akibat kelekaan pertahanan
pasukan Belasahan, Saudara Rizatulfaiz sekali lagi menjaringkan gol kedua untuk
pasukan Logam FC. Hal ini memberitekanan kepada pasukan Belasahan. Mereka kerap kali mengasak ke kubu
Logam FC, namun dek kerana penyudah yang kurang berkesan, akhirnya mereka
hampa. Di akhir-akhir permainan, Saudara Muhaimin berjaya juga membolosi gawang
gol pasukan Logam FC sekaligus satu gol saguhati untuk pasukan Belasahan. Wisel
penamat dibunyikan, keputusan Logam FC ‘2’ dan Belasahan ‘1’.
Semua
perlawanan tamat pada pukul 8.45 malam dengan secara keseluruhannya semua
penonton berpuashati dengan permainan yang ditunjukkan oleh setiap pasukan.
Mansoura Premier League 2010/2011 hanya berbaki seminggu sahaja lagi sebelum
juara MPL ditabalkan. Pasukan manakah yang akan membawa pulang trofi kejuaraan?
Maruah pasukan manakah pula yang akan tergadai? Sama-sama kita nantikan.
Teruskan kesetiaan anda bersama saya untuk ulasan Mansoura Premier League
2010/2011.
15 november 2011 – Keadaan cuaca yang
begitu sejuk serendah 12oC ditambah pula dengan keadaan padang yang
agak lecak dan licin memberikan keadaan yang begitu mencabar bagi pemain-pemain
dari setiap kumpulan. Walaubagaimanapun, semangat berkobar-kobar daripada
mereka sudah cukup untuk menghangatkan suasana.
Perlawanan
pertama menyaksikan pertembungan antara kumpulan “Logam FC” dan “Seeker”.
Kedua-dua kumpulan memberikansaingan yang begituhebat dan jelas terpampang
peningkatan prestasi daripada kedua-dua kumpulan walaupun setelah sekian lama
berehat daripada Liga.
Larian-larian
solo Zul Azri banyak membuka peluang kepada Logam FC untuk menjaringkan gol
tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol seeker Haizaq Farhan. Walaupun menerima
asakan bertubi-tubi daripada pasukan lawan, penjaga gol “Logam FC” Amir Ridzuan
tetap gagah bertahan . Walaubagaimanapun, nasib tidak menyebelahi “Logam FC”
apabila Amir ridzuan tewas kepada rembatan kencang “AminStark”, penyerang yang
baru sahaja berpindah daripada kumpulan “Inspira” bagi menyertai “Seeker”.